Cabaran atau ujian akan menjadikan kita lebih kuat samada kita dilahirkan Islam atau sebagai seorang mualaf, lebih-lebih lagi kepada mualaf kerana ujian & cabaran mereka bukan calang-calang. Memilih atau terpilih untuk memeluk Islam dan menjadi mualaf akan hadir sekali dengan cabarannya. Setiap dari kita yang dilahirkan diatas muka bumi ini akan melalui fasa-fasa yang berbeza dalam kehidupan. Kenapa ianya berbeza? Kerana telah disebut dalam surah Al Baqarah ayat 286. Allah SWT berfirman, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. Ini bermakna setiap ujian yang didatangkan kepada kita masih lagi dalam kemampuan kita dan Insha-Allah, Allah SWT maha mengetahui bahawa kita mampu mengatasinya.

Gambar hiasan


Baru-baru ini kami telah berhadapan dengan beberapa kes seorang mualaf. Beliau telah memeluk Islam lebih kurang 2 tahun lalu. Mualaf ini telah diuji dengan cabaran yang berat. Beliau mengalami stress yang melampau dan membawa dirinya mengalami kemurungan. Sikapnya mula berubah dari seorang yang cergas kepada seorang yang pendiam. Memilih untuk berkurung di dalam bilik. Sehinggalah kami dapat tahu beliau kembali kepada habit lamanya. Mengambil minuman yang beralkohol. Kami sedaya upaya cuba membantu namun, keadaan beliau semakin melarat. Kami membuat keputusan untuk menghantar beliau ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ini adalah antara ujian dan dugaan mualaf.

Saudara baru mengucap syahadah di Pejabat Inspirasi Mualaf.
Gambar Hiasan


Ada juga mualaf kita lain yang diuji dengan ujian yang tak kurang hebatnya. Ada yang dipulaukan oleh keluarga, kehilangan pekerjaan, kehilangan pendapatan. Malah, ada kes berlaku perebutan anak-anak. Ini dapat kita lihat melalui perkongsian Brother Ravi Thamboo ketika beliau ditemuramah dalam episod 04 The Journey, Siri Khas Ramadan 2022. Setiap ujian dan cabaran ini diturunkan untuk meningkatkan dan mengukuhkan keimanan mereka. Tak kurang hebatnya, ada juga yang diuji sehingga mengancam nyawa, ditetak dengan kapak kerana mengajak anak saudaranya memeluk Islam. Semestinya kita sebagai masyarakat sekeliling perlu bersama-sama mereka. Memastikan mereka tidak tersasar dari landasan Islam. Namun kita hanya insan biasa. Apa yang kita boleh buat adalah membimbing mereka. Diselangi dengan kasih sayang tetapi mereka tetap perlu berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka. Allah berfirman,


“Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

Ar-Ra’d ayat 11

Sangat jelas dalam ayat ini, Allah SWT maha pengasih dan maha penyayang terhadap hambaNya sehingga memerintahkan malaikat menjaga kita. Namun sekiranya kita sendiri masih berdegil dan memilih untuk melakukan keburukan maka tiada apa yang dapat mengubahnya kecuali mereka sendiri bertaubat.

Kesimpulannya, setiap ujian dan dugaan yang hadir adalah sebagai pelajaran dan pengajaran dalam kehidupan kita yang mana ini adalah salah satu cara Allah SWT meningkatkan keimanan dan darjat setiap hambaNya. Dalam pada keperitan yang dihadapi mualaf, ada juga cerita yang manis dapat kami kongsikan melalui pengalaman kami dalam usaha dakwah kami. Ada satu ketika kami dapat panggilan dari saudara mualaf yang kami telah syahadahkan 2 tahun lalu. Dia mengajak kami ke rumahnya kerana ada 2 lagi saudaranya yang ingin memeluk Islam, alhamdulillah. Inilah dia peraturan Allah SWT.

One Response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *