Di dalam bulan kemerdekaan ini, pasti banyak sekolah-sekolah, institusi, dan juga iklan di kaca televisyen mula menganjurkan kempen kemerdekaan. Iklan bertemakan kemerdekaan mula terpampang di skrin, jalur gemilang terlihat banyak dikibarkan di semua tempat dan lagu-lagu bertemakan patriotisme mula kedengaran.
Saban tahun menyambut kemerdekaan, kita semua pasti tahu maksud kemerdekaan atau perkataan “merdeka” itu sendiri merujuk kepada kebebasan. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, merumuskan maksud merdeka secara umum adalah bebas daripada penjajahan, naungan dan tidak bergantung dengan orang lain.
Dalam kegembiraan menyambut kemerdekaan, pengertian hari kebangsaan ini sangat penting bagi semua peringkat umur, sama ada yang tua mahupun yang muda. Kemerdekaan adalah sebuah rahmat kepada negara Malaysia setelah bebas dijajahi sebelum 31 Ogos 1957. Generasi kini tidak mungkin merasakan nikmat yang dikecapi oleh negara kita sekarang tanpa usaha parajurit-parajurit negara terdahulu.
Secara umumnya, banyak iktibar yang boleh diambil dari kisah-kisah perjuangan kemerdekaan Malaysia. Pengisian tentang kemerdekaan ini bukanlah tentang kemerdekaan Malaysia semata-mata, penghayatan kemerdekaan yang sebenar adalah simbolik “merdeka” itu sendiri terhadap individu, agama dan pemikiran. Berikut adalah 3 simbolik kemerdekaan.
- Merdekanya Islam
- Kisah peperangan pada zaman Nabi terdahulu sangat memberi keinsafan kepada kita sebagai orang Islam. Kekalahan musuh Islam terdahulu telah memberi kemerdekaan kepada banyak tanah di Arab. Bukan itu sahaja, pembukaan dan penyebaran Islam semakin diterima banyak oleh negara luar termasuklah negara kita yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Antara kisah Nabi Muhammad SAW tentang pembukaan Kota Mekah dan Masjidil Haram sebagai tempat menunaikan ibadah haji yang ada disebutkan dalam Al-Quran, “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap” – Surah Al-Israa’, Ayat 81. Ayat ini menerangkan kemerdekaan Kota Mekah, di mana Baginda Rasullullah SAW menghancurkan berhala di Masjidil Haram dengan busur panah. Masjidil Haram merupakan simbolik penting bagi umat Islam sehingga ke hari ini.
- Merdekanya Individu
- Sebagai manusia, kita mempunyai kelebihan dan kekurangan yang menjadikan hidup kita lebih berwarna. Mungkin kita selalu dengar berita tentang depression (kemurungan) yang dahulunya merupakan topik yang sangat taboo bagi negara Malaysia. Mungkin disebabkan kekurangan yang kita ada menyebabkan kita menjadi sedih, lemah, malas dan sentiasa dalam ketakutan.
- Tidak salah untuk mempunyai perasaan sedih kerana kita memang dilahirkan untuk mempunyai perasaan sebegitu, tetapi jika berlarutan lama kita mungkin akan jadi lalai, malas dan dibelenggu dengan masalah lain. Merdekanya kita sebagai individu adalah jika boleh mengendalikan perasaan kita tanpa melibatkan hal kehidupan kita yang lain.
- Dalam masa yang sama, kita berusaha untuk menggembirakan diri sendiri dengan mencari kebahagiaan yang kita ingin miliki. Ingatlah, Allah SWT tidak membiarkan hamba-hambanya hidup dalam kesusahan tanpa ada hikmah disebaliknya. Teruskan berdoa dan berminta kepadaNya untuk dipermudahkan segala urusan kehidupan di dunia dan di akhirat.
- Merdekanya Pemikiran
- Idea dan pemikiran (Ideologi) sememangnya sudah menjajahi rakyat Malaysia dan umat Islam sejak dahulu lagi. Bagi penjajah asing, negara-negara yang kurang maju, negara-negara Islam lain memerlukan idea, budaya dan sudut ekonomi seperti mereka untuk kekal maju dan dipandang tinggi negara lain. Hal ini menyebabkan ideologi kita kerap bercanggah asbab “manhaj” ataupun sistem kehidupan Islam yang bergantung kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Erti kata lain, umat Islam hidup berlandaskan amal makruf dan nahi munkar, mendorong kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
- Akibatnya, semakin banyak negara Islam yang menyokong tindakan liberal seperti tiada lagi hukuman berasaskan hudud, kelonggaran menutup aurat, kelonggaran dalam dunia hiburan yang membenarkan lelaki bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrimnya. Seperti dalam artikel sebelum ini juga, gerakan LGBTQ semakin tersebar dan diterima oleh beberapa negara Islam atas alasan ekonomi dan equality ataupun kesaksamaan. Apa yang kita boleh lakukan dalam hal ini ialah cuba berdakwah dan belajar tentang kebaikan sistem kehidupan Islam yang dilaksanakan. Tanpa bimbingan, peraturan dan undang-undang yang benar, kita akan hidup terumbang-ambing tanpa matlamat pengakhiran di penghujung kehidupan.
Kemerdekaan yang sebenar sebagai orang Islam, adalah terbinanya semangat jati diri kita tidak kira di mana tumpahnya darah kita. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya bersyukur kerana kita masih menjadikan agama Islam ini satu peranan kehidupan yang selari. Menurut artikel daripada Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) oleh Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, garis panduan Islam di Malaysia masih lagi kukuh dan tiada kekangan yang keterlaluan kerana kita masih lagi dibenarkan untuk berinovasi dan berkarya, kaum wanita tetap dimuliakan selama mana masih dalam kerangka yang dibenarkan oleh Islam hasil bimbingan para ulama yang ada.
Hikmah disebalik peristiwa-peristiwa sebelum ini sudah pasti menjadikan kemerdekaan itu sesuatu yang bermakna buat kita semua. Kemerdekaan juga merupakan satu nikmat daripada Allah SWT yang patut disyukuri. Makna kemerdekaan itu sangat besar dan luas. Bagi kami ‘Merdeka’ adalah kebebasan untuk berdakwah dan menyeru kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Sang Pencipta. Apa erti dan simbolik kemerdekaan yang sebenar bagi anda pula?