Bagi individu yang meninggalkan puasa di bulan Ramadan sama ada dengan sengaja atau tidak, puasa yang ditinggalkan itu adalah wajib ke atasnya untuk menggantikan puasa tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya individu tersebut tidak mampu menggantikan puasanya disebabkan oleh beberapa faktor seperti sakit yang berpanjangan atau hamil dan menyusu, maka diperlukan untuk membayar fidyah.

Dalam situasi lain juga, terdapat segelintir individu yang mengeluarkan persoalan bagaimana pula jika terlupa bilangan hari yang puasanya ditinggalkan. Sama ada tertinggal sebanyak tujuh atau lapan hari, jadi berapakah bilangan sebenar yang perlu digantikan?

Berbincang mengenai hal ini, jumhur ulama telah mengeluarkan beberapa kaedah yang boleh kita lakukan untuk menggantikan puasa yang terlupa bilangannya.

Menurut apa yang disampaikan, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan dalam menentukan bilangan hari untuk qada puasa tersebut, iaitu Tahdidi dan Taqribi.

Kaedah Tahdidi ialah dengan menentukan harinya berdasarkan bilangan yang tepat manakala Taqribi pula ialah menggunakan anggaran berapa hari yang tertinggal.

Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti berkata, kaedah Taqribi ialah seperti berikut:

Was-was sama ada tertinggal puasa selama lapan hari atau sepuluh hari? Maka, dalam kaedah ini perlu mengambil bilangan tengah, iaitu sembilan hari.

Dalam hal ini, jika kita was-was akan puasa tersebut, perlu diambil dengan bilangan yang paling dekat. Menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk mencatat bilangan hari yang tertinggal. Banyak aplikasi yang ada yang boleh digunakan di peranti pintar anda jika anda tidak ingin mencatatnya pada kertas.

Namun, jika tetap terlupa juga, ambillah bilangan yang dirasakan pasti dan paling dekat dengan hari yang tertinggal.

Wallahu’alam. Semoga Bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *