Salah faham & kekeliruan terhadap pertukaran nama sendiri atau nama bapa telah menjadi soalan yang biasa ditanya jika ingin memeluk Islam.
Semalam kami sempat berdiskusi dengan seorang hamba Allah melalui Zoom Meeting, beliau dari KL. Apa yang menariknya cerita semalam adalah, beliau sudah pun tahu banyak hal-hal mengenai Islam. Malah, mengakui bahawa Tuhan itu satu yakni Allah SWT dan juga, Nabi Muhammad pesuruh Allah. Jom kita sama-sama doakan beliau supaya terus kekal dalam hidayah dan taufik Allah SWT. Supaya makin ramai manusia merasai kemanisan bila masuk Islam, semakin ramai mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Berbalik kepada soalan beliau yang diajukan kepada Pengerusi Inspirasi Muallaf adalah mengenai pertukaran nama. Ringkas, padat, & jelas penerangan Pengerusi kami. Asalkan nama asal sesorang bukan Islam itu tak mengandungi unsur kufur, syirik dan menyaingi Allah seperti nama-nama dewa dan berhala. Pada asasnya hukum pertukaran nama apabila seseorang masuk adalah mengikut keadaan. Ada yang menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan juga tak ketinggalan haram!
Walaupun duduk berjauhan, kami tetap menyantuni sesiapa sahaja yang nak tahu mengenai Islam, walaupun secara online!
WAJIB – Menjadi wajib apabila nama asal mempunyai unsur-unsur kufur, syirik dan menyaingi Allah seperti nama-nama dewa dan berhala. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.AW bersabda:
إن أَخْنَعَ اسم عند الله رجل تسمى ملك الأملاك
Maksudnya: “Sesungguhnya sehina-hina nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malik al-Amlak (Raja segala raja).”
Riwayat al-Bukhari (1385)
Sunat – Nama yang mengandungi makna yang tak baik (selain daripada nama-nama yang diharamkan), sunat untuk diubah. Tapi tiada paksaan dalam mengubahnya!
Begitu juga persoalan berkaitan menukar nama bapa setelah seseorang masuk Islam. Tiada sebarang dalil daripada al-Quran atau hadis Nabi S.A.W. yang menuntut seorang mualaf untuk menukar nama bapa mereka selepas memeluk agama Islam. Perbuatan Nabi Muhammad s.a.w menukar nama yang buruk seperti yang dibahaskan sebelum ini juga jelas menunjukan bahawa perbuatan tersebut terhenti setakat menukar nama diri para sahabat sahaja tanpa menukar nama bapa mereka. Buktinya jelas apabila ramai para sababat Baginda s.a.w. yang mengekalkan nama bapa mereka setelah memeluk Islam antaranya ialah Umar ibn al-Khatab, Bilal ibn Rabah, Ali ibn Abu Talib dan Utbah ibn Abu Lahab. Bahkan nama Ikrimah ibn Abu Jahal juga kekal begitu walaupun bapanya adalah seorang individu yang kuat menentang Islam.
(Rujuk: Fatwa al-Lajnah ad-Daimah, 20/327).
Justeru, menukar nama bapa adalah tidak diwajibkan bagi seorang muslim malah ditegah oleh Islam sebagaimana hadis:
مَن ادَّعَى إلى غَيْرِ أبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ أنَّهُ غَيْرُ أبِيهِ فَالجَنَّةُ عَلَيهِ حَرامٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengaku anak dari selain ayahnya, padahal dia tahu bahawa yang diakuinya itu bukan ayahnya, maka haram baginya syurga”.
Riwayat al-Bukhari (6269) dan Muslim (95)
Selain itu, amalan menukar nama bapa mualaf selepas mereka memeluk Islam dikhuatiri akan menghilangkan nasab keturunan, menimbulkan kekeliruan dan masalah dalam jangka masa panjang.
Rujuk: Fatwa al-Lajnah ad-Daimah, 20/327).
Kesimpulannya adalah tak wajib tukar nama untuk sesiapa sahaja yang ingin masuk atau memeluk agama Islam selagi nama asalnya tidak seperti yang diterangkan diatas. Semoga perkongsian ini memberi sedikit kecerahan kepada pembaca dan anda boleh kongsikan dengan kawan-kawan jika ada yang berminat nak tahu tentang Islam terutamanya berkaitan dengan penukaran nama setelah memeluk Islam.
Alhamdulillah, hidayah itu milik Allah. Semoga segala urusan saudara kita sentiasa dipermudahkan selalu. Aamiin.
terima kasih doa untuk saudara baru kita ya 🙂