Mualaf dengan 4 tahun peluk Islam, tak menjadi halangan untuk Qaseh Qhatijah menjadi johan hafazan untuk Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M.
Kemenangan saudari Qaseh Qhatijah mualaf yang berasal dari Sabah bukan sahaja memenangi Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Besut, beliau membawa pulang wang sebagai hadiah sebanyak RM8,000 tajaan Lembaga Tabung Haji.
Sebagai seorang mualaf yang dulunya beragama Buddha dan kini menetap di Melaka, beliau telah melafazkan syahadah pada tahun 2017. Minatnya terhadap Islam telah dipengaruhi oleh suasana sekeliling yang dikelilingi oleh sahabat Muslim ketika zaman pembelajarannya. Keindahan alunan mengaji al-Quran & bacaan selawat menjadi asbab keinginannya turut serta dalam aktiviti-aktiviti sahabat Muslimnya. Sungguh, hidayah itu milik Allah, selagi kita ada niat untuk mencarinya, insyaAllah suatu hari nanti pasti diketemui.
Saudari Qaseh Qhatijah sempat berpesan supaya setiap mualaf perlu menjaga hati dengan baik, kental & selalu untuk terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Malah, beliau juga mengakui bahawa proses penghijrahan itu tidak mudah, selalu beri ruang kepada diri sendiri untuk terus belajar & belajar, mempersiapkan diri supaya bersedia jika berniat untuk kembali berkumpul dengan sahabat-sahabat lama.
Kejayaan Qaseh Qhatijah ini selayaknya menjadi pembakar semangat untuk para mualaf di luar sana untuk menceburi apa sahaja bidang malah menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing. Program Mahrajan Amal Islami Mualaf telah diadakan dengan matlamat untuk menjadikan mualaf di Malaysia ini lebih terkehadapan dan serba boleh. Setiap manusia itu samada seorang mualaf atau pun tidak, kita dikurniakan dengan pelbagai kelebihan & bakat masing-masing. Usahalah sungguh-sungguh untuk mengasahnya supaya bermanfaat untuk kehidupan sendiri malah umat Islam yang lain.