Syukur kami panjatkan kepada Allah SWT atas izin-Nya kepada kami melaksanakan ibadah korban pada tahun ini bulan lepas. Semuanya berjalan lancar, walaupun tak semua yang dirancang berlaku, tapi itulah dia lumrah manusia, kita hanya merancang, Allah itu yang Maha Penentu.
Pada tahun-tahun sudah, Persatuan Inspirasi Muallaf tak tertinggal untuk melaksanakan ibadah korban walaupun ketika PKP. Pada tahun ini lebih meriah bila mana para mualaf dapat turut melibatkan diri dari awal hingga akhir Korban Perdana ini. Kerjasama diantara Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam ini, merupakan julung kalinya dilakukan bersama Persatuan Inspirasi Muallaf. Pasukan pihak masjid telah membantu kami seluruh program hingga ke akhir.
Matlamat Korban Perdana ini tidak lain adalah memberi peluang kepada setiap mualaf yang hadir untuk merasai sendiri pengalaman melaksanakan ibadah korban yang mulia ini. Mengambil roh atau menjiwai makna sebenar korban dari sudut amali dan kefahaman. Ada yang terlibat dengan pasukan sembelihan, melapah, membungkus dan lain-lain.
Didapati ramai juga kanak-kanak turut serta memeriahkan lagi suasana Hari Raya Korban ini. Program seperti ini sangat bagus untuk anak-anak. Secara tak langsung, program ibadah korban ini dapat membentuk peribadi generasi muda yang lebih terisi dengan kefahaman Islam itu sendiri dan menjadi ahli-ahli dalam kejiranan yang mengutamakan kehidupan secara berkumuniti. Ini amat penting kerana kita merupakan contoh paling dekat pada mereka.
Persatuan Inspirasi Muallaf ambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada seorang mualaf yang telah kami syahadahkan, diserap ke dalam Inspirasi Muallaf Services. Beliau adalah brother Ismail Wong kerana dapat turut serta rasa sendiri apa itu ibadah korban. Ikuti perkongsian beliau disini.
Harapan kami pada masa akan datang, lebih ramai saudara baru atau mualaf yang dapat menyertai ibadah korban ini. Maka, kami mengajak anda semua samada mualaf atau tidak, terus sokong usaha kami yang kecil ini, bagi melahirkan umat Islam yang hebat, seperti mana Islam pernah menguasai 2/3 dunia pada masa dahulu. Paling tidak, kita mampu untuk sediakan jawapan bila Allah tanya kita di mahsyar nanti, insyaAllah.