Antara amalan mulia dan yang paling mudah untuk dilakukan pada bulan puasa ialah memberi makan kepada mereka yang berpuasa.
Apabila ditatal di laman-laman sosial, ramai yang mengambil peluang untuk menyedekahkan makanan sama ada makanan buat berbuka atau bersahur kepada mereka yang berpuasa.
Tidak kiralah ia dalam kuantiti yang sedikit atau banyak sekalipun kerana yang dinilai adalah keikhlasan hati seseorang dan bukanlah pada kuantitinya.
Jika anda sekadar memberi cucur pisang yang digoreng sendiri di rumah kepada pengawal keselamatan yang menjaga apartment rumah anda dengan ikhlas, sesungguhnya besar nilainya di sisi Allah walau ia kelihatan kecil di mata manusia.
Bahkan, dalam sebuah hadis sahih juga ada menyebut bahawa ganjaran buat mereka yang memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah besar nilaiannya di sisi Allah.
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksud: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.” (HR At-Tirmidzi)
Doa Yang Boleh Dititipkan
Apabila kita mendapat makanan atau pemberian daripada seseorang, pastinya kita akan mengucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Walaupun kita tidak membalas pemberian mereka dengan balasan yang sama, namun sebenarnya dengan mengucapkan terima kasih itu mampu memberi seribu satu kebahagiaan kepada si pemberi.
Namun, tahukah anda sebenarnya Baginda SAW mengajarkan kita untuk turut membalas pemberian seseorang itu dengan menitipkan doa kepada mereka.
“Sesiapa yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kepadanya. Jika kamu tidak punyai apa-apa untuk membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasnya.” (HR Abu Dawud)
Terdapat beberapa kisah yang pernah diriwayatkan mengenai doa Baginda yang dibacakan kepada mereka yang memberi makanan.
Diriwayatkan daripada Miqdad RA yang menceritakan bahawa Baginda SAW mendoakannya yang memberikan makan ketika bersahur.
اللَّهُمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي
Maksud: “Ya Allah, berilah makan kepada orang yang memberiku makan, berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (HR Muslim)
Dalam riwayat yang lain menyebut, bahawa Nabi SAW telah datang kepada Sa’ad bin ‘Ubadah. Sa’ad pun telah menghidangkan kepada beliau roti dan minyak (pada waktu berbuka). Lalu Baginda memakannya. Kemudian, Baginda SAW mengucapkan:
Maksud: “Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisimu. Orang-orang yang baik memakan makananmu dan para malaikat telah mendoakanmu.” (HR Ibn Majah)
Kesimpulan
Tuntasnya, apabila anda mendapat pemberian sama ada dalam bentuk makanan atau wang ringgit dan sebagainya, titipkanlah doa kebaikan buat mereka seperti yang diajarkan Baginda SAW.
Semoga keberkatan pemberian itu sampai kepada anda dan juga si pemberi.
InShaaAllah
Rujukan: Doa Kepada Orang Yang Memberi MakanF