Thabit Bin Ad-Dhahhak RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan diazab dengan sesuatu di dunia, maka dia akan diazab dengan sesuatu yang digunakannya itu di hari kiamat kelak.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Setiap manusia yang diatas muka bumi ini akan berhadapan dengan kematian apabila sudah sampai masanya. Maka dengan itu berlakulah perpisahan antara yang hidup dengan yang telah pergi. Jelas dan nyata bahawa kehidupan diatas muka bumi ini hanyalah kehidupan sementara. Kehidupan yang mana akhirnya kita menuju akhirat dan menerima balasan sama ada ke syurga atau neraka.
Hadis diatas secara terang dan jelas menyatakan manusia tiada hak untuk mengambil nyawa mereka sendiri kecuali apabila Allah berkehendak. Oleh itu perbuatan membunuh diri amatlah dilarang dan haram hukumnya. Ini adalah kerana kita ini sebagai hambaNya dan kita juga adalah hak milik mutlak Allah SWT. Janganlah sesekali kita melanggar laranganNya dan perbuatan membunuh diri sama seperti kita menzalimi diri kita dan juga mereka yang berada disekeliling kita. Ianya juga menandakan bahawa kita dengan sengaja melanggar apa sahaja ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah.
Apakah punca yang membawa kepada keinginan seseorang itu membunuh diri. Antaranya adalah kerana tekanan hidup yang semakin mendesak kerana masalah kewangan seperti mempunyai hutang yang semakin bertambah. Ada juga kerana perasaan kecewa kerana rasa cinta terhadap manusia yang melebihi rasa cinta kepada Allah. Tidak kurang juga yang membunuuh diri kerana ditinggalkan pasangan iaitu suami atau isteri. Ada pelbagai lagi faktor-faktor yang menyebabkan mereka ini membunuh diri atau berkeinginan membunuh diri. Walaubagaimana pun apa sahaja alasan membunuh diri itu tidak akan memberikan penyelesaian malah akan menambahkan beban keluarga yang ditinggalkan.
Kita sebagai manusia yang diciptakan dan dimuliakan oleh Allah mempunyai akal yang paling sempurna antara semua makhluk ciptaanNya. Membunuh diri memang tidak akan memberikan penyelesaian yang baik malah ianya menambahkan lagi masalah. Menyakiti diri sendiri juga sudah digelar menzalimi apatah lagi mengambil nyawa dan meninggalkan mereka yang menyayangi kita begitu sahaja. Keluarga yang ditinggalkan akan mempunyai perasaan malu, terpaksa pula menanggung beban yang bukan sepatutnya ditanggung oleh mereka.
Kita sebagai umat Islam, seharusnya menggunakan akal yang telah dianugerahkan dengan sebaik-baiknya. Setiap hari kita perlu sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan. Sentiasa istiqomah menjaga ibadah dan selalu membuat kebaikan walau apa sahaja keadaan kita. Sentiasa mencari sahabat yang positif dan berada disekeliling mereka yang positif. Jangan sesekali memendam terlalu lama atas segala masalah yang dihadapi. Berjumpa atau berkongsi cerita dengan orang yang boleh dipercayai dan dengan mereka yang memberikan nasihat yang membina.
Sesungguhnya Allah tidak akan membebani hambaNya diluar kemampuan mereka (Surah Al Baqarah , ayat 286). Maka gunalah akal dengan sebaik-baiknya dan sentiasa perbaiki iman kita setiap hari. Inshaa Allah kunci kebahagiaan setiap manusia adalah terletak pada diri mereka sendiri dan juga atas rasa bersyukur dengan kehidupan yang telah dikurniakan oleh Allah.