Apakah maksud keuzuran yang menghalang sahnya puasa? Apakah keuzuran-keuzuran itu?

Maksud keuzuran yang menghalang sahnya puasa ialah perkara-perkara yang menyebabkan puasa tidak sah atau terbatal. Oleh itu, bagi orang yang berlaku kepadanya perkara tersebut ia diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, malah jika berpuasa sekalipun puasanya tidak sah dan jika ia sedang berpuasa, puasanya akan terbatal dengan sendiri.

Keuzuran-keuzuran yang dimaksudkan adalah:

  1. Kedatangan haid atau nifas.
    • Wanita yang sedang haid atau nifas tidak wajib berpuasa kerana puasanya tidak sah. Jika haid datang ketika ia sedang berpuasa, maka puasanya terbatal dengan sendiri.
  2. Gila.
    • Orang gila tidak wajib berpuasa kerana puasanya tidak sah. Jika seseorang itu tidak gila pada awalnya, namun menjadi gila pada mana-mana waktu di siang hari, maka akan batallah puasanya pada hari tersebut.
  3. Pengsan di sepanjang hari.
    • Orang yang pengsan sehari penuh (iaitu dari mula terbit fajar hingga terbenamnya matahari) maka puasanya pada hari itu terbatal sekalipun ia berniat pada malamnya dan pada siangnya ia tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Namun, jika ia tersedar pada mana-mana waktu pada siang hari, hilang keuzurannya dan ia wajib menahan diri (iaitu berpuasa) pada waktu yang masih tinggal dan puasanya dikira sah.

PERINGATAN: Orang yang tidak berpuasa Ramadan kerana keuzuran-keuzuran yang disebut di atas, ia wajib menggantinya pada bulan yang lain. Dikecualikan orang gila, ia tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkannya semasa gila itu kerana ketika itu ia tidak dianggap mukalaf (kerana salah satu syarat mukalaf adalah berakal). Keadaannya sama seperti kanak-kanak yang belum baligh di mana mereka tidak dituntut menggantikan puasa yang mereka tinggalkan semasa sebelum baligh kerana mereka belum mukallaf.

Rujukan: Buku A-Z Soal Jawab Puasa, Solat, Tarawih, Zakat Fitrah & Hari Raya – Ahmad Adnan Fadzil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *