Secara amnya, terdapat dua jenis individu iaitu jenis pemimpin dan jenis pengikut. Fikir dan pilih dari mula, adakah kita ingin menjadi seorang pemimpin dalam bidang yang kita ceburi atau selamanya menjadi pengikut?

Tetapi untuk menjadi seorang pemimpin, mesti jadi seorang pengikut dahulu. Menjadi suatu kerugian yang besar sekiranya kita terus menjadi pengikut sepanjang hayat. Ramai pemimpin yang hebat sebenarnya bermula dengan menjadi seorang pengikut. Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, perlu memiliki ciri-ciri seperti berikut:

  1. KEBERANIAN YANG CUKUP berdasarkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang diketahui. Tiada pengikut yang mahu diarah-arah oleh seorang pemimpin yang tidak mempunyai keyakinan diri dan penakut. Orang yang cerdik, dan pandai menilai sikap tidak akan bertahan lama di bawah pemimpin yang tidak mempunyai ciri ini.
  2. KAWALAN DIRI. Orang yang tidak dapat mengawal diri sendiri tidak akan dapat mengawal orang lain. Kebolehan mengawal diri menjadi contoh berkesan bagi para pengikut di bawah seorang pemimpin. Pengikut yang bijak dapat menilai ciri itu. Mereka akan cuba mengikut sikap yang terserlah pada pemimpin mereka.
  3. ADIL DAN SAKSAMA. Tanpa ada sikap adil dan saksama, tiada pemimpin dapat mengekalkan pengikut setia dan menerima penghormatan yang sepatutnya. Mereka pasti akan segera berpindah ke tempat lain sebaik mengetahui pemimpin mereka tidak mempunyai sikap yang mulia.
  4. YAKIN DENGAN KEPUTUSAN. Pemimpin yang berdolak-dalik dengan keputusan yang dibuat menunjukkkan keyakinan diri mereka yang rendah. Perhatikan contoh yang banyak daripada pemimpin-pemimpin parti politik. Mereka yang begini tidak akan kekal lama.
  5. MERANCANG DENGAN TEPAT. Pemimpin yang baik akan membuat perancangan secara teliti. Seterusnya mereka akan melaksanakan perancangan yang dibuat. Pemimpin yang hanya meneka-neka secara membabi buta, tidak menyusun perancangan dengan baik dan teliti, dapat diumpamakan seperti kapal tanpa kemudi. Lambat laun kumpulan yang dipimpinnya akan tersadai di pantai cetek, tidak boleh bergerak.
  6. MENYUMBANG LEBIH. Sikap ini seperti sumpahan bagi seorang pemimpin. Mereka harus membuat sesuatu perkara lebih daripada apa yang diharap oleh pengikut-pengikut mereka.
  7. DISENANGI RAMAI. Orang yang tidak berdisiplin, berperangai buruk dan suka mengambil mudah tidak akan menjadi pemimpin yang berjaya. Seorang pemimpin memerlukan rasa hormat daripada pengikut-pengikut mereka. Perasaan itu pula hanya dapat muncul bersama nilai peribadi yang dimiliki oleh seseorang pemimpin.
  8. SIKAP SIMPATI DAN MEMAHAMI. Suatu lagi sikap yang perlu ada bagi seorang pemimpin adalah perasaan simpati kepada pengikut-pengikut mereka. Mereka juga harus memahami keadaan atau masalah yang dihadapi oleh para pengikut. Ini bagi memastikan komunikasi antara kedua-dua pihak menjadi lebih mudah dan berkesan.
  9. PEKA DENGAN PERINCIAN. Selepas sesuatu perancangan disusun, pemimpin perlu peka kepada perincian-perincian yang perlu diteliti. Mereka tidak semestinya melakukan perincian itu sendiri, sebaliknya ia mungkin dilakukan oleh pihak lain. Mereka sedar akan hal-hal yang perlu dilihat dengan lebih lanjut supaya perlaksanaan tidak menjadi kucar-kacir.
  10. MEMIKUL TANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA. Pemimpin yang dihormati akan mengambil sikap bertanggungjawab atas kesilapan atau kekurangan yang dimiliki oleh mana-mana pengikut mereka. Sekiranya ada pengikut yang membuat kesilapan, ia adalah kesalahan pemimpin itu kerana tidak memastikan mereka melakukan kerja dengan baik. Sekiranya mengelak akan bertanggungjawab, jangka hayat kepimpinan mereka pasti singkat.
  11. MUDAH BEKERJASAMA. Seorang pemimpin harus faham akan sikap bekerjasama, serta mudah melaksanakannya pada bila-bila masa diperlukan. Mereka juga seharusnya menerapkan sikap itu di kalangan para pengikut. Kepimpinan memerlukan kuasa, manakala kuasa pula memerlukan kerjasama.

Sumber: Zunaidah Hadi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *