1. Nama surah bermaksud keadaan yang melepasi sesuatu batasan untuk meluru ke arah sesuatu di hadapan tanpa ada yang boleh menghalang.

2. Nama surah berkenaan merujuk kepada keadaan kuda semasa dalam medan perang. Digambarkan ia sangat patuh dan tunduk kepada segala kehendak tuannya lalu bersedia meluru ke arah musuhnya dalam apa jua keadaan yang diperintahkan.

3. Nama surah menjelaskan tema surah ini ialah telitinya pengadilan Allah kepada setiap mereka yang ditundukkan nikmat Allah seperti kuda perang sama ada mereka menggunakannya untuk jalan Allah atau sebaliknya digunakan untuk menghalang jalan Allah.

4. Nama surah juga menjelaskan tema lain surah ini ialah kepantasan dan kejutan. Kejadian Kiamat adalah kejadian yang mengejut dan di luar jangkaan yang kafir dalam kubur kerana mereka menyangka belum tiba waktunya kesempatan tidur seketika mereka antara dua sangkakala diganggu (Yassin 36:42). Kejutan dan luar jangkaan ini seumpama serangan mengejut kuda-kuda di waktu lenanya manusia menjelang Subuh.

5. Awalan surah (ayat 1) mengenai larian yang kencang tanpa menoleh ke belakang sehingga nafas tercungap-cungap kepenatan. Akhiran surah (ayat 11) mengenai keadaan yang menyebabkan orang kafir kepenatan (surah al-Ghashiyah 88:3) dan nafasnya tercungap-cungap cemas kerana menanti detik hisab yang bakal dilakukan Tuhan ke atasnya dan setiap inci amalannya.

6. Awalan surah (ayat 1-5) juga menjelaskan dengan sangat terperinci sifat kuda semasa dipandu tuannya. Akhiran surah (ayat 10-11) menjelaskan dengan sangat terperinci segala sifat manusia semasa hidupnya di dunia dalam catatan malaikat Allah. Terperinci keterangan perilaku manusia dengan segala yang dikejarnya di dunia seumpama terperincinya sifat kuda dari gerak nafasnya dan kakinya mengejar apa yang diperintahkan kepadanya.

7. Awalan surah (ayat 1-5) juga menjelaskan dua perspektif boleh muncul pada sifat kuda yang diceritakan al-Quran. Jika di fasa Makkiah, yang memiliki kuda ialah kebanyakkannya orang-orang Arab semasa jahiliah. Digunakan kuda berkenaan untuk menceroboh atau mencuri harta dagangan orang lain. Jika fasa Madaniah, yang memiliki kuda ialah para Sahabat dan digunakan kuda berkenaan untuk jihad fi sabilillah. Maka, kerana adanya dua perspektif di awal surah iaitu menggunakan kuda untuk tujuan keburukan atau kebaikan, maka dipaparkanlah adilnya hari pembalasan sehingga setiap amalan masing-masing akan didedahkan niat dan motif sebenar ia dilakukan.

Wallahu a’lam

Sumber: Ustaz Syaari Ab Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *