Chinese New Year pada tahun ini jatuh pada hujung minggu dan semestinya semua orang tahu, hujung minggu menjadi 4 hari. Pastinya banyak perkara yang sudah berada dalam perancangan ibu bapa mahupun remaja-remaja bagi mengisi masa terluang.

Buat ibu bapa yang bekerja, pastinya mempunyai masa yang pendek dengan anak-anak apabila mereka hanya boleh meluangkan masa bersama pada hujung minggu sahaja. Kebiasaannya, aktiviti juga banyak dihabiskan di rumah sahaja akibat penat bekerja.

Ada juga ibu bapa yang mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke kampung bagi mengelakkan mereka dilanda kebosanan di rumah tanpa sebarang aktiviti menarik yang boleh dilakukan sekali gus menjamin keselamatan mereka di bawah jagaan orang tua.

Kebiasaannya, nenek dan datuk mereka di kampung akan mengajar cucu-cucu mereka untuk lebih dekat dengan suasana kampung dan juga dengan ajaran Islam seperti membaca Al-Quran, membaiki solat agar lebih baik dan memberi ilmu agama yang secukupnya.

Ia merupakan antara aktiviti santai yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak dan juga remaja yang sedang menikmati cuti sekolah mereka. Entri kali ini akan merungkai pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh para pelajar sama ada yang sedang berada di kampung mahupun di bandar.

#1 – Libatkan Anak-anak Melakukan Kerja Rumah

Walaupun ibu bapa meninggalkan anak-anak dengan orang gaji atau datuk dan nenek di kampung, tidak semestinya mereka perlu goyang kaki dan tidak melakukan apa-apa. Ini merupakan masa yang sesuai untuk belajar melakukan kerja rumah dan menjadi ringan tulang. Sekurang-kurangnya, anak-anak akan belajar benda baru dan boleh berdikari apabila ibu dan bapa tidak ada di rumah kelak. Mengemas rumah, belajar memasak, membantu menyiram tanaman di halaman rumah dan menemani nenek membeli ikan di pasar merupakan kemahiran asas yang perlu diketahui dalam diri setiap anak-anak yang sedang membesar. Daripada mereka menghabiskan satu hari suntuk dengan menatap laman media sosial atau bermain permainan video, bahagikan masa mereka juga untuk mempelajari ilmu-ilmu seperti ini.

#2 – Kunjungi Perpustakaan Yang Ada

Buat keluarga yang tinggal di kota, terdapat banyak perpustakaan yang boleh dikunjungi. Kerajaan juga telah menambah baik kemudahan yang ditawarkan di kawasan luar bandar dengan membina perpustakaan desa kepada rakyat di sana.

Anak-anak boleh mengakses internet dan membaca pelbagai buku yang dibekalkan di sana sama ada bahan bacaan fiksyen dan juga bukan fiksyen.

Malah, perpustakaan yang ada sekarang bukan hanya membekalkan buku-buku sebagai bahan bacaan, tetapi juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti tempat kanak-kanak bermain sambil belajar, ruang bermain permainan video dan sebagainya.

#3 – Mempelajari Ilmu Asas Daripada Orang Tua

Buat anak-anak yang dihantar ke kampung halaman oleh ibu bapa, jangan anggap ia adalah sebuah hukuman atau perkara yang tidak menyeronokkan, sebaliknya gunalah peluang tersebut untuk menjadi insan yang lebih baik.

Dengar kisah-kisah menarik mengenai Islam atau para nabi daripada datuk dan nenek anda, belajar mengaji dan perbetulkan solat merupakan antara aktiviti yang boleh dilakukan di kampung.

Bacalah buku-buku yang boleh memberi pengetahuan yang mendalam atau asas ke dalam diri anda jika anda bosan tiada bekalan internet di kampung.

Adalah lebih baik belajar ilmu ini secara bersemuka dengan orang yang lebih tua. Kadang-kadang, mereka mempunyai ilmu yang lebih mudah untuk belajar.

#4 – Melawat Tempat-Tempat Bersejarah

Malaysia mempunyai pelbagai tempat bersejarah yang menarik untuk dilawati. Setiap negeri pasti mempunyai muzium atau tempat bersejarahnya sendiri.

Ibu bapa boleh membawak anak-anak untuk melihat sendiri keunikan sejarah di Malaysia. Muzium P. Ramlee, Muzium Penjara, Muzium Besar Negeri Terengganu dan Muzium Bank Negara Malaysia merupakan antara tempat menarik yang boleh dilawati.

Mereka bukan sahaja boleh menambah ilmu berkenaan sejarah-sejarah yang ada, malah dalam masa yang sama anda boleh melihat keunikan senibina di sana dan mengeratkan hubungan dengan ibu bapa atau sesama kawan anda sendiri.

Kesimpulan

Sebagai ibu bapa, tak salah jika kita biarkan anak-anak di rumah dengan sekadar bermain permainan video atau melayari internet, namun 24 jam yang dibekalkan itu terlalu lama hanya untuk digunakan ke arah itu. Bahagikan masa mereka dengan bijak dan jadikan ia percutian yang paling berkualiti untuk mereka.

Sumber: TZKRH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *